Berubah? Apa yang dikatakan berubah itu adalah satu peralihan dari suatu keadaan kepada suatu keadaaan yang lain. Tika jemari ini sibuk mencari informasi yang berguna menjelang hari bahagia, tiba-tiba terjumpa satu article yang boleh dikatakan menarik perhatian saya. Penulisannya begitu bertepatan dengan diri saya dan juga persekitaran saya.


Saya berhasrat untuk menjadi lebih baik dalam kehidupan saya dan saya percaya ramai di luar sana juga sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri. Setiap orang tidak lari dari membuat kesilapan mahupun kecil atau besar cuma ianya terpulang kepada diri kita sama ada kita menyedarinya dan berusaha untuk keluar dari kepompong cara hidup lama.




Jangan sekali kita merasa diri kita adalah terbaik dan sempurna sehingga hanya pandang pada kelemahan insan lain. Saya setuju dengan prinsip hidup insan teristimewa dalam hidup saya iaitu 
"Orang yang sentiasa merasakan imannya cukup kuat adalah orang yang paling lemah sekali imannya manakala orang yang sentiasa merasai keimanannya begitu tipis itulah orang yang sentiasa imannya terjaga oleh Allah s.w.t"


Banyak yang perlu saya pelajari dalam hidup ini dan saya bersyukur setiap apa kesalahan yang saya lakukan Allah s.w.t memberikan petunjuk kepada saya tidak kira dari segi kesedaran mahupun balasan, dan dari situ saya yakin Allah masih menyayangi saya sebagai umat-Nya dan tidak mahu saya jauh dari-Nya. 


Kepada insan istimewa terima kasih kerana menjadikan saya lebih baik dari semalam. Anda menjadikan hidup saya lebih bermakna dalam meniti perjalanan hidup ini bersama.


Opps..lupa ini artikelnya..


Satu perkara yang saya belajar dalam pengalaman 20 tahun kehidupan saya, adalah manusia itu boleh berubah.
Memang. Anda akan kata pada saya: “Memanglah. Manusia memang boleh berubah”
Ya. Kita memang tahu. Ini memang pengetahuan am. Tetapi siapakah yang merasai betapa besarnya satu-satu ‘perubahan’ itu?
Di dalam hidup ini, ada satu garisan yang membahagikan kita kepada dua kumpulan.
Baik dan buruk.
Kita jangan sesekali lupa, bahawa seseorang manusia itu boleh berubah dari buruk kepada baik.
Dan kita juga jangan sesekali lupa, bahawa seseorang manusia itu boleh berubah sebaliknya.
Dari baik kepada buruk.


Manusia boleh berubah 1: Buruk kepada baik
Kita selalu lupa kenyataan ini. Lupa dalam amal dan perbuatan, lupa dalam minda dan akal fikiran, lupa dalam hati dan jiwa.
Mungkin satu waktu dahulu kita kenal Si A. Dia ada banyak perkara negatif di dalam dirinya. Kita tidak suka Si A pada suatu masa dahulu. Tetapi lama waktu berlalu, kita berjumpa semula dengan Si A. Si A berbeza daripada dahulu. Dia sudah berubah. Walaupun mungkin bukan 100%, tetapi dia menunjukkan perubahan.
Tetapi kita sukar menerimanya.
“eleh, berlakon je kut”
“Ah, dulu punya luka masih besar lagi!”
“Ini silap haribulan sekejap je ni”
Ayat-ayat begitulah yang keluar dari hati.
Akhirnya virus ini merebak ke dalam kehidupan. Kita tidak menghayati perubahan Si A. Kita tidak merasai betapa sukarnya dia hendak melakukan perubahan. Kita tidak tahu mungkin betapa menyesalnya Si A dengan kehidupannya yang lalu. Kita tidak tahu mungkin betapa dia bermati-matian untuk membawa dirinya ke arah apa yang dia sedang pijak hari ini.
Lebih buruk lagi, oleh kerana tidak puas hatinya kita kepada Si A, dan rasa macam tak puas hati dengan perubahan yang telah kita lihat dengan mata kepala kita sendiri, lebih-lebih lagi apabila Si A muncul menonjol luar dari apa yang kita mungkin boleh jangkai, kita mula mencari mana lagi salah-salah Si A yang boleh dieksploitasi.
Di sinilah akhirnya yang sekecil kuman pun dibesarkan sebesar gajah. Dosa-dosa lama diungkit seakan baru. Salah faham yang mungkin berlaku dalam komunikasi, kehidupan Si A, dibesar-besarkan seakan ia adalah satu perkara yang ‘betul faham’. Dan apa-apa sahaja cerita buruk yang di’dengari’ dari orang lain akan Si A, dijaja seluruh dunia seakan benar.
Ini adalah penyakit.
Penyakit kerana kita tidak menyedari, bahawa manusia itu boleh berubah.

Manusia boleh berubah 2: Baik kepada buruk
Kita juga kadangkala selalu melupakan perkara ini. Kita lupa bahawa Allah itu mampu menurunkan seseorang yang baik, menjadi seorang yang buruk. Mungkin dahulu solat, sekarang tidak. Mungkin dahulu ada hubungan dengan Allah, sekarang tidak. Banyak lagi.
Kelupaan kita terhadap perkara inilah, yang membuatkan kita senang memandang hina kepada mereka yang bergelumang di dalam dosa dan keburukan. Kelupaan kita akan perkara inilah, yang membuatkan kita mudah menyatakan orang lain masuk neraka, kafir dan sebagainya. Kita boikot orang-orang berdosa dan mengumpat cerca mereka.
Ya, mungkin hari ini kita ada nikmat iman dan nikmat Islam.
Tetapi kita punya kah?
Sepatutnya, kesyukuran kita ini mendapat nikmat iman dan Islam, perlu ditunjukkan dengan menyebarkannya dengan lebih jauh dan lebih ramai lagi. Bukannya menyedikitkannya dengan menyatakan orang-orang lain masuk neraka atau kafir atau tak ada harapan atau dah terjerumus.
Maka sepatutnya kita tidak merasakan bahawa diri ini sudah berada di dalam comfort zone. Rasa keimanan kita sudah cukup. Rasa Islam kita sudah bagus. Sepatutnya kita tidak melihat berapa banyak kebaikan yang kita lakukan, tetapi lihatlah berapa banyak dosa yang masih belum kita selesaikan. Sepatutnya kita tidak melihat berapa banyak dosa orang lain lakukan, tetapi lihatlah kebaikan-kebaikan yang dia ada sebagai motivasi untuk mengajaknya kepada kebenaran.
Kita sepatutnya melihat di sekeliling kita.
Mungkin ramai sahaja, orang-orang yang mendapat didikan agama, tetapi tidak mengaplikasikannya. Mungkin ramai sahaja, orang yang dahulunya ikut usrah, tapi kini perangai entah apa-apa. Mungkin ada pengalaman kita, orang yang dahulu bertudung, sekarang boleh dedah sampai ke paras dada dan pakai ketat-ketat.
Sepatutnya, kita bersyukur dengan kebaikan kita, dan berusaha untuk menambahnya dalam rangka menghargainya. Dan syukur kita, kita lepaskan dalam bentuk mengajak lebih ramai lagi orang lain untuk berada dalam lingkungan keredhaan Allah.
Bukannya kita tunjukkan dengan mencerca mereka yang diuji pula!

Manusia boleh berubah 3: Turun dan naik
Satu lagi kenyataan yang perlu diperhatikan. Bahawa manusia itu ada turun dan ada naiknya.
Mungkin kita ada sahabat, awal perkenalan kita kenal bagus. Kemudian tiba-tiba di tengah perkenalan kita, sahabat kita tiba-tiba melakukan sesuatu yang tidak enak di mata kita seperti bercouple dan sebagainya.
Apakah biasanya tindakan kita?
Ada kalangan kita yang merupakan ekstrimis, terus memboikot mereka ini, menyatakan bahawa mereka ini tiada harapan, dan kita cerca mereka dengan berbagai cercaan.
Apabila sahabat kita ini melakukan perubahan, kita tidak menerima mereka. Kononnya kepercayaan telah dikhianati dan sebagainya. Kita tidak mengerti betapa susahnya dia diuji sedemikian. Kadangkala, manusia yang terjerumus ini, bukan dengan kehendaknya. Dia terperangkap. Mungkin terperangkap atas unsur orang lain, dan ada juga yang terperangkap kerana sebelumnya dia ingat boleh.
Janganlah kata dia budak agama, takkan dia tak tahu. Janganlah kata dia anak murid orang hebat, takkanlah dia tak tahu. Habis, Ka’ab bin Malik itu sahabat Rasulullah, takkan dia tak tahu tak pergi perang tu salah? Abu Dzar Al-Ghifari itu sahabat Rasulullah, takkan dia tak tahu memanggil Bilal bin Rabah sebagai ‘anak hitam’ itu salah?
Di sinilah kita perlu memahami. Bahawa manusia itu ada turun dan naiknya. Mereka ini diuji. Mungkin kita belum diuji.
Jadi peranan kita, adalah memberikan sokongan dan dorongan agar mereka mampu melepasi ujian itu. Agar nanti, saat waktu kita pula diuji, moga-moga Allah mempermudahkan urusan kita pula.

Penutup: Berdoalah supaya kita serta orang lain berubah ke arah kebaikan, dan sentiasa muhasabah
Moga-moga, perubahan-perubahan yang Allah berikan kepada kita dalam kehidupan ini hanyalah kehidupan ke arah kebaikan semata-mata. Moga-moga, Allah mengubah kita dan mengubah manusia di sekeliling kita ke arah kebaikan.
Kita juga kena berusaha agar doa itu menjadi realiti.
Sentiasalah muhasabah dan buatlah banyak checkpoint di dalam kehidupan kita.
Sentiasalah merendah diri, dan merasa kasih sayang kepada orang lain.
Dengan memahami fitrah perubahan inilah, kita akan menghasilkan rasa hendak mengambil berat akan diri dan orang lain. Dengan memahami perkara inilah, kita akan lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga diri. Dengan memahami perkara inilah, kita akan bergantung lebih kepada Allah SWT.
“(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” Surah Ali-Imran ayat 8.

Comments (1)

On April 5, 2011 at 7:17 AM , positivegurl said...

Betul tu. Sama-samalah kita ingat mengingati antara satu sama lain ke arah kebaikan.