Sedihnya apabila ruang paling penting di rumah menjadi tempat meragut nyawa anak kecil. Melecur anggota tubuh badan akibat terkena air panas, terkena renjatan elektrik daripada mesin basuh atau ketuhar gelombang mikro, antara berita sedih hidangan akhbar.
Membaca berita tragis itu membuatkan kita tersedar sendiri `perangkap maut' ada di rumah, tetapi sejauh mana kita bertindak atau mengambil langkah berjaga-jaga memastikan kejadian buruk tidak menimpa anggota keluarga kita?

Maaf sekiranya saya katakan kadangkala kealpaan kita sendiri sebenarnya yang mengundang padah. Tidak menutup suis pembakar roti antara kelalaian yang sering saya lakukan, tetapi bersyukur juga kerana anak sulung saya, Najah yang semakin `peka' dengan persekitaran rumah selalu mengingatkan.

`Mama dah tutup suis tu?' antara ingatan yang selalu diberikan kepada saya. Malah sebelum keluar rumah kadangkala saya perhatikan dia sudah tahu `peraturan atau perkara perlu disemak sebelum keluar rumah', bahawa semua peralatan elektrik perlu ditutup sebelum melangkah keluar.

Begitupun, kata-kata ingatan perlu terus diberikan kepada anak-anak, kerana mereka kadangkala seperti kita juga, terlupa atau `maaf, tak ingatlah mama, ingatkan kakak dah buat,' kata anak kedua saya, Hariz yang selalunya menyerahkan tanggungjawab sebegitu kepada si kakak.

Sebagai ibu, tidak pula saya menyerahkan sepenuhnya kepada anak yang paling tua, tetapi tetap memantau, cuma kata-kata yang sering diingatkan itu menjadikan mereka tidak mudah lupa.

Sememangnya kecederaan berlaku di rumah meninggalkan kesan trauma berpanjangan. Saya ingin berkongsi kisah anak saudara yang ketika itu berusia sembilan bulan, Daniel, terkena air panas di rumah pengasuh. Air panas itu tidaklah banyak, cuma separuh piring, tetapi terletak atas lantai. Ketika itu pengasuh berkenaan, tidak berada berhampiran Daniel.

Sedang sibuk ke sana, ke mari lantaran hari semakin petang, melayan ibu bapa mengambil anak-anak masing, hingga tidak sedar mengenai air panas itu. Ketika merangkak, Daniel dikatakan cuba mendapatkan piring berkenaan, dan apa yang tidak diingini tetap berlaku. Melecur.

Tangan dan kaki berparut meninggalkan kesan hingga ke hari ini, walaupun sudah 14 tahun insiden itu berlalu. Rawatan pula bukan memakan masa sehari dua, sebaliknya bertahun-tahun, kerana balutan bahagian kaki dan tangan perlu ditukar beberapa kali setahun, lantaran tubuh badannya membesar dan mengelakkan kulit berkenaan buruk rupanya kesan melecur itu.

Berbalik kepada dapur, peralatan memasak yang tajam, bahan kimia seperti pencuci pinggan mangkuk, bahan masakan dan sebagainya antara jerangkap samar menunggu mangsa.

Selain menyimpan dan mengunci semua bahan kimia beracun, terdapat beberapa tindakan pencegahan keselamatan lain yang penting dan perlu diberi perhatian di dapur.

Paling penting untuk diingati bahawa kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan bersendirian walaupun untuk beberapa saat di dapur.

Melayari `Konsumer Kini', ada beberapa panduan keselamatan umum yang boleh dikongsi bersama.

INFO

Keselamatan di rumah

Peringatan umum

* Jangan biarkan terdapat kabel elektrik yang berjuntai di tepi meja. Alat-alat kecil seperti pengadun, pembuat kopi, ketuhar gelombang dan seumpamanya hendaklah dicabut apabila tidak digunakan dan disimpan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

* Simpan semua peralatan masak selepas digunakan, terutama pisau yang tajam atau peralatan yang hujungnya runcing. Jauhkan semua pisau di luar jangkauan anak anda.

* Sampah hendaklah diletakkan di bakul sampah dengan tudung yang tidak mudah untuk dibuka atau menyimpannya di bawah sinki dan kuncikan.

Peralatan dapur

* Ketika membeli peralatan baru, cari model yang bersuis dan butang-butang di luar jangkauan anak kecil.

* Ajarkan anak pada usia awal lagi untuk mengenal erti `panas' dan sebarang butang pada peralatan tidak boleh disentuh.

* Pastikan anak anda tidak berada di bawah kaki anda apabila anda sedang memasak atau memegang bekas makanan yang panas. Ketika memasak, minyak yang mungkin tumpah atau berhamburan juga membahayakan anak jika berada berdekatan.

* Jika kemalangan berlaku, kawasan tubuh yang melecur itu hendaklah diletakkan pada aliran air sejuk sehingga rasa sakit reda (Jangan gunakan ais, yang boleh menyebabkan radang dingin).

Ketuhar gelombang

* Pastikan ketuhar gelombang mikro sudah diletakkan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

Peti sejuk

* Beberapa makanan boleh menjadi racun bagi kanak-kanak, terutama jika makanan berkenaan sudah rosak. Makanan lain seperti sos atau makanan yang belum dimasak boleh membawa bahaya kepada kanak-kanak jika mereka memakannya. Atau, mereka mungkin boleh tercekik atau botol kaca berkenaan boleh pecah dan mencederakan mereka.

* Untuk mengelakkan kanak-kanak daripada membuka pintu peti sejuk, anda boleh memasang kunci peti ais di bahagian atas pintu. Tapi kanak-kanak yang kecil ini biasanya tidak mempunyai kekuatan untuk membuka pintu peti sejuk. Jika anda meletakkan hiasan bermagnet pada peti sejuk, pastikan ia bersaiz besar agar tidak boleh masuk ke dalam mulut anak kecil. Pastikan magnet itu sendiri tidak longgar atau tidak mudah tercabut.

Mesin pencuci pinggan mangkuk dan mesin pencuci kain

* Kanak-kanak suka menekan butang dan panel kawalan kerana ia boleh menarik perhatian mereka. Cara paling mudah untuk menjaga anak anda daripada bermain dengan kawalan mesin basuh pinggan dan mesin pencuci kain adalah untuk membeli mesin yang sukar bagi kanak-kanak untuk mengendali dan membukanya. Anda juga boleh mengunci pintu mesin dengan pengikat perkakas sedia ada.

* Serbuk dan cecair pencuci pula harus diletakkan di tempat yang tinggi supaya kanak-kanak tidak boleh mencapainya.

Comments (0)