Pembelian sebuah kereta mungkin menjadi pembelian besar pertama anda, dan ia merupakan harta anda yang paling mahal buat seketika. Lazimnya, seseorang yang baru berjinak dengan kenderaan akan memilih sebuah kereta terpakai buat permulaan. Berikut kami paparkan beberapa panduan yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca dalam membuat pemilihan dan pertimbangan - baik untuk kereta baru mahupun terpakai.
Selidik, kaji dan berkongsi pendapat


Buat rujukan di internet dan bahan bacaan lain sebagai panduan, terutama berkenaan harga terkini bagi model pilihan anda.

Sahabat juga merupakan satu lagi punca rujukan yang baik, terutama sekali jika beliau merupakan pemilik model kereta pilihan anda.

Ini akan memberikan gambaran yang baik berkenaan senggaraan dan juga kos lain yang berkaitan dengan kereta tersebut. Malah, beliau akan mampu berkongsi pendapat mengenai kos jangka panjang bagi kenderaan pilihan itu.

Pilih kereta yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan anda

Eloklah dipastikan dahulu jenis kereta apa yang anda perlukan. Sama ada dari jenis sport, sedan, MPV atau kereta mewah. Pelbagai jenis kereta ada di pasaran, dan buatlah keputusan yang bersesuaian dengan bajet anda. Jenis kereta yang anda INGINI tidak semestinya sama dengan kereta yang anda PERLUKAN. Pilihan ini akan memberi kesan kepada perbelanjaan anda kelak dalam jangka masa panjang. Jangan melangkaui kemampuan kewangan anda ketika mengambil keputusan.

Beli dari kedai atau terus dari pemilik?

Bagi kenderaan baru, ini tidak menjadi masalah. Semua urusan akan dilakukan oleh wakil pengedar anda. Jaminan terhadap kenderaan ini juga masih di atas tanggung jawab pengeluar. Pemilik sekurang-kurangnya boleh berasa lega untuk ini.

Kepada yang memilih kenderaan terpakai, keduaduanya perlu dikenal pasti. Melalui kedai kenderaan terpakai, harga kenderaan mungkin tinggi sedikit. Pastikan juga sama ada mereka memberikan tempoh jaminan. Pembelian terus dari pemilik juga ada kelebihan, antaranya tawaran harga masih boleh dirunding dan maklumat sejarah penyelenggaraan kenderaan juga boleh dipastikan dan diteliti berdasarkan jadual servisnya (jika ada).

Pandu uji sebelum beli

Pandu uji mampu memberikan maklumat lanjut tentang kereta yang bakal anda beli. Teliti dan dengar jika ada bunyi yang tidak sepatutnya. Jika anda kurang pengalaman, minta bantuan rakan untuk memandu uji. Memeriksa kereta sebelum pembelian adalah tanggungjawab anda supaya tidak menyesal di kemudian hari. Periksa juga keadaan kenderaan, sama ada kebocoran minyak, perlanggaran dan sebagainya.

Jika sudah ada kereta yang menjadi pilihan hati, pandu uji dan buat keputusan. Bagi kenderaan terpakai, periksa geran dan rekod pemilikan agar sama dengan nombor enjin dan casis, serta pastikan tiada tuntutan hak milik yang tertunggak. Anda juga boleh memeriksa rekod saman yang ada bagi kenderaan tersebut dengan bantuan pihak polis.

Comments (0)