Allah Yang Maha Kuasa, dengan IradahNya diciptakan manusia dari  satu jiwa, kemudian diciptakan pula pasangannya supaya bersemi  ketenangan, kesenangan dan kedamaian.

Allah melimpahkan sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya ke lubuk jiwa  manusia dengan perasaan cinta serta melimpahkan rasa kasih sayang  sebagai landasan kebahagiaan keluarga dalam sebuah rumahtangga.

 Allah berfirman (Surah Ar-Rum : 21), yang bermaksud;

"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu  isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa  tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang.  Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda  bagi kaum yang berfikir."
Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang merupakan fitrah dari Allah, tetapi kita perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak diperolehi sebagai satu anugerah tanpa diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Sikap berhati-hati dalam menentukan pilihan untuk pasangan hidup merupakan ciri khas dari insan budiman. Sekiranya salah membuat pilihan, bererti sepanjang hayat menanggung penyesalan. Sikap memilih dan ingin dipilih adalah hak bagi setiap manusia. Adalah tidak adil rasanya dunia ini, jika pilihan hanya dibolehkan untuk kaum lelaki.

A. Memilih pasangan hidup
Dalam kehidupan bermasyarakat, perkahwinan dan pernikahan sangat diperlukan. Tujuannya adalah untuk meneruskan kehidupan umat manusia di bumi ini. Perkahwinan merupakan fitrah bagi setiap makhluk Allah dan menjadi asas bagi melanjutkan bahtera kehidupan.

Dalam kehidupan bermasyarakat, seringkali kita dengar ungkapan;
jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Pendapat ini baik kerana ia dapat mendidik manusia dengan sifat qana'ah (bersyukur dengan apa yang ada) tetapi, ujud pula manusia yang terlalu cepat menyerah kepada takdir, tanpa sebarang usaha.

Beberapa pendapat tentang jodoh:

1. Jodoh merupakan takdir semata

"Jodoh di tangan Tuhan, manusia mesti menerima jodohnya, baik ataupun buruk"

Pendapat ini sangat besar pengaruhnya dan berkembang luas dalam masyarakat, tapi sayang pendapat ini kurang tepat. Jika pendapat tersebut hanya bermaksud : "Jodoh di tangan tuhan maka ada kebenarannya. Tetapi ayat yang seterusnya terkeluar dari hakikat sebenar.

Kekeliruan yang nyata sebagai bukti lemahnya pendapat itu ialah seringkali menyalahkan Tuhan bila berlaku kegagalan. Seringkali kita dengar, "Sudah takdir Tuhan, jodoh saya tak panjang."

Daripada pendapat itu, adakah Tuhan bersalah memutuskan perhubungan hambanya? Hakikat sebenarnya, siapa yang memutuskannya.

2. Jodoh merupakan takdir dan perlu mencari

"Jodoh di tangan Tuhan, tetapi manusia harus berikhtiar mencari dan memilihnya"

Pendapat ini lebih baik dari pendapat pertama, walaupun masih belum sempurna. Masalahnya terletak pada sudut ikhtiar untuk mencari dan memilih jodoh.

3. Wajib berikhtiar sesuai dengan ketentuan Allah

"Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan"

Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dan memilih jodoh.

Selain daripada pendapat di atas, masih ada cara lain yang digunakan di beberapa tempat seperti :

1. Jodoh dicari dan dipilih oleh orang tua tetapi perkahwinan berlangsung atas persetujuan anak.

2. Anak lelaki mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan berkahwin bergantung kepada orang tua.

3. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan perkahwinan bergantung kepada kedua belah pihak orang tua.

4. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri serta menentukan sendiri perkahwinannya.
Mengikut ajaran Islam, persetujuan antara kedua belah pihak merupakan perkara asas, iaitu atas persetujuan dari calon suami dan isteri. Ini disebabkan perkahwinan di dalam Islam bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan pasangan tersebut.

Kedua orang tua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi masalah memilih jodoh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak ataupun kedua orang tua.

Namun begitu, kedua orang tua tidak boleh sesuka hati mencarikan calon untuk anaknya. Ianya mestilah berlandaskan ajaran Islam.

Bagi menentukan jodoh untuk kaum wanita, setidak-tidaknya perlu diperhatikan beberapa ciri berikut:

i. Pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab untuk membina rumahtangga
ii. Mencari nafkah yang jujur dan berhasil
iii. Pasangan ideal dalam erti;
 - bersikap baik terhadap isteri
 - dapat memberikan kebebasan berfikir dan memberi pendapat
 - menerima kekurangan dan kelemahan isteri
 - dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu
 - dapat menjaga kewibawa isteri
 - dapat membimbing isteri ke jalan yang baik
 - dapat menghormati dan menyayangi sanak keluarga isteri
iv. Bapa yang baik dana sayang kepada anak-anak
v. Pasangan yang baik lahir dan batin
 
B. Sikap lelaki dan wanita yang diredai Allah
Islam menyuruh umatnya berkerjasama membina umat yang luhur. Cara yang paling utama islah membina keluarga yang utuh. Oleh itu  perkahwinan memang dituntut di dalam Islam kerana dari perkahwinan boleh melahirkan kebaikan-kebaikan dengan berlandaskan ajaran Islam.

C. Suami yang diingini wanita

 Keseluruhannya, suami yang diingini oleh setiap wanita ialah lelaki yang beragama dan berakhlak mulia.

D. Persediaan diri untuk berkahwin

1. Umur yang cukup dewasa
   Kedewasaan bermaksud:
   - dewasa fizikal
   - dewasa intelektual, bersifat objektif terhadap diri sendiri.
      Ia mengakui kekurangannya, berkeinginan memeriksa motif
      tindakannya sendiri.
   - dewasa emosi, tahu mengawal diri ketika marah dan sebagainya
   - dewasa sosial, mempunyai hubungan kekeluargaan yang harmoni,
     mampu menyesuaikan diri dengan masyarakat di mana ia berada.
   - dewasa moral, memahami hal orang lain dan selalu mempertimbangkan
     akibat perbuatannya terhadap orang lain.

Ringkasnya, umur yang sebaiknya bagi lelaki ialah antara 25 - 30  tahun dan bagi wanita ialah antara 20 - 25 tahun. Penentuan umur ini sebenarnya banyak bergantung kepada iklim dan adat istiadat sesuatu tempat.

2. Bekal menyara hidup

3. Mempunyai pengetahuan berumahtangga

Pengetahuan berumahtangga dianggap mudah oleh lelaki sehingga ilmu-ilmu itu biasanya tidak dipelajari. Ini hanya disedari apabila telah berumahtangga. Di sanat ini barulah diketahui banyak masalah yang perlu dihadapi.
4. Sihat jasmani dan rohani
Perkahwinan adalah percampuran lahiriah dan batiniah lelaki dan perempuan. Oleh itu keadaan kesihatan jasmani dan rohani amat diperlukan.

E. Memilih isteri idaman

Ada beberapa faktor dalam memilih isteri :
 1. Faktor keagamaan dan akhlak
 2. Faktor kecantikan dan kekayaan
 3. Faktor keturunan dan kesuburan

Sifat-sifat wanita yang mulia:
 i. Wanita yang tidak suka menuntut perkara-perkara yang akan
 membebankan suaminya
 ii. Wanita yang tidak suka berhias untuk lelaki bukan muhrimnya
 iii. Wanita yang menjauhkan diri dari sifat-sifat tercela.
 iv. Wanita yang tidak meninggikan suara melebih suara suaminya
 v. Tidak keluar rumah tanpa izin suaminya
 vi. Tidak membelanjakan harta suaminya tanpa izin suaminya
 vii. Menjalankan kewajipan terhadap ajaran agama
 viii.Tidak menuntut cerai atau talak.
 ix. Tidak cepat cemburu pada sesuatu yang belum pasti.
 x. Berbuat baik dalam menjalinkan hubungan dengan keluarga suami.
 xi. Tahan menderita ketika suami ditimpa musibah.

Comments (0)